Followers

Monday, April 8, 2013

Tudung Datuk Siti Nurhaliza Bernilai RM3,900


MALAM AMAL TAHAJJUD CINTA berjaya mengumpul sebahagiannya RM3,900 menerusi bidaan tudung eksklusif penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

Dua helai tudung dilelong pada majlis di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur pada malam Rabu lalu masing-masing berharga RM1,100 dan RM2,800.


Tudung berwarna merah hitam idea Siti pernah dipakai ketika sidang akhbar Malam Amal Tahajjud Cinta sekitar bulan Disember tahun lalu manakala, tudung berwarna biru dipakai pelantun lagu Galau itu ketika membuat persembahan pada majlis itu.

“Tudung ini istimewa kerana saya sendiri yang mengilhamkan idea rekaan dan cara pemakaiannya. Pemilik tudung-tudung ini perlu berjumpa saya untuk belajar cara memakainya.

“Lebih menarik tudung-tudung ini juga pernah dipakai saya dan mungkin masih ada kesan peluh saya,” ujarnya berseloroh usai membuat persembahan pada malam itu.

Tudung pertama yang dilelong berjaya dimiliki oleh Noaryati Ahmad manakala tudung kedua pula menjadi milik Fauziah Syeikh Omar yang jelas teruja ketika memenangi kedua-dua tudung istimewa itu.

Selain lelongan tudung, sebuah potret Siti Nurhaliza karya pelukis tersohor negara, Abdul Rahman Sulaiman terjual dengan harga RM2,600.

Tidak sah sekiranya majlis yang dijayakan oleh Siti tidak mendapat teriakan daripada peminatnya ketika penyanyi bersuara lunak itu mengalunkan lagu-lagu indah yang disusun semula oleh Aubrey Suwito.

Walau hanya lagu-lagu kerohanian dipersembahkan Siti pada malam yang turut menampilkan peragaan fesyen tudung koleksi terbaharu Fareeda, majlis mula gamat apabila Siti mengalunkan lagu pertamanya pada malam itu, Lagu Rindu yang dipetik daripada album Prasasti Seni tahun 2004.

Melanjutkan acara, Siti mengalunkan beberapa buah lagu yang melonjakkan namanya seperti Nirmala dan menyanyikan semula lagu InsyaAllah (nyanyian asal Maher Zain), Ayat-Ayat Cinta (Rossa), Ketika Cinta Memanggil (Opick) dan Kepadamu Kekasih (Datuk M. Nasir, Datuk Hattan & Jamal Abdillah).

Persembahan Siti diiringi kumpulan muzik Mohram dan turut berduet bersama Bob Yusof yang turut mendendangkan tiga buah lagu pada majlis tersebut.

Siti, 34, melahirkan rasa syukur kerana dapat membantu meraih dana untuk dua buah pertubuhan kebajikan iaitu Yayasan AIDS Malaysia dan Yayasan Ihtimam Malaysia.

“Perjuangan orang yang hidup dengan HIV sememangnya dekat di hati saya dan pembabitan dalam program Selebriti Sokongan Riben Merah Majlis AIDS Malaysia semenjak tahun 2009 telah membuka mata saya tentang realiti sebenar HIV dan AIDS.

“Insya-Allah jika diberikan peluang, saya berhasrat untuk meneruskan lagi sumbangan yang tidak seberapa ini dan inilah hadiah daripada hati saya,” ujarnya.

Sumber -->> Kosmo! = 8/4/2013

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Comments